
PETALING JAYA: Seorang wanita warga emas tidak sempat mengundi apabila dilaporkan pengsan di sebuah pusat pengundian di Gemencheh, Negeri Sembilan sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Tampin, Anuwal Wahab berkata, wanita itu dilaporkan hadir bersama keluarganya untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan Rokan.
Katanya, selepas mencelup jarinya dalam botol dakwat wanita itu tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri sebelum segera dibawa ahli keluarganya ke Klinik Kesihatan Gemencheh.
“Ketika di klinik wanita itu kembali sedar tetapi paras oksigen didapati semakin menurun. Bantuan CPR dilakukan oleh pembantu pegawai perubatan tetapi mangsa gagal diselamatkan,” katanya dalam kenyataan.
Anuwal berkata, sebelum kejadian wanita berkenaan yang juga mempunyai sejarah penyakit darah tinggi mengadu sakit kaki sejak balik dari mengerjakan umrah.
Bagaimanapun, wanita itu tetap hadir untuk mengundi dan berjalan dari kereta hingga ke sekolah berkenaan.
“Jenazah wanita itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.