24 calon wanita berjaya tawan hati pengundi

24 calon wanita berjaya tawan hati pengundi

Calon wanita PH menang 15 kerusi manakala PN memperoleh kemenangan di lapan kerusi.

Calon PH di DUN Sungai Puyu Phee Syn Tze dan Nurul Syazwani Noh daripada PN yang bertanding di Permatang antara yang menyerlah pada PRN semalam.
KUALA LUMPUR:
Seramai 24 daripada 71 calon wanita yang bertanding menang pada PRN di enam negeri, semalam, menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagi Pakatan Harapan (PH), 15 daripada 26 calon wanitanya menang kerusi DUN, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh kemenangan di lapan kerusi, daripada 19 calon wanita dipertaruhkan.

Membuat penampilan pertama, calon PH di kerusi DUN Sungai Puyu, Pulau Pinang, Phee Syn Tze merupakan antara yang menyerlah apabila menang dengan majoriti 21,330, selepas memperoleh 23,838 undi menewaskan calon PN Andrew Teow yang mendapat 2,508 undi.

Seorang lagi calon yang membuat penampilan pertama Nurul Syazwani Noh, 35, mewakili PN, menang di DUN Permatang, Selangor dengan majoriti 1,728 undi.

Anak bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang Noh Omar itu, meraih 12,850 undi menewaskan Mohd Yahya Mat Sahri (PH) yang memperoleh 11,122 undi.

Barisan Nasional (BN) pula mempertaruhkan 12 calon wanita, namun hanya menang di kerusi Juasseh, Negeri Sembilan menerusi Bibi Sharliza Mohd Khalid dengan majoriti tipis 78 majoriti menewaskan Eddin Syazlee Shith (PN).

Dalam pada itu, 10 calon wanita diketengahkan Muda, dua calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) serta masing-masing seorang calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan bebas, gagal meraih sebarang kerusi DUN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.