Cuai jaga 2 bayi, pengasuh didenda RM40,000

Cuai jaga 2 bayi, pengasuh didenda RM40,000

Nurul Shahira A'shiqin Sulaiman dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dan khidmat masyarakat selama 100 jam.

Nurul Shahira A’shiqin Sulaiman di Mahkamah Seysen Johor Bahru hari ini. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Seorang pengasuh taska didenda RM40,000 dan dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan cuai membabitkan dua bayi di sebuah taska di Taman Mutiara Rini, di sini, Mac lepas.

Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menjatuhkan hukuman itu ke atas Nurul Shahira A’shiqin Sulaiman, 28, dan memerintahkan hukuman penjara 10 bulan, jika gagal membayar denda itu.

Mahkamah juga memerintahkan wanita itu dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM20,000 tidak bercagar bagi setiap pertuduhan dan khidmat masyarakat selama 100 jam dalam tempoh enam bulan mulai hari ini bagi dua pertuduhan itu.

Che Wan Zaidi berkata, walaupun perbuatan tertuduh tidak membabitkan kecederaan kepada dua bayi itu, namun mereka sepatutnya dijaga dengan penuh kasih sayang.

Sebagai pengasuh yang diamanahkan di pusat asuhan itu, katanya, tertuduh bertindak cuai dan melakukan perbuatan tidak sewajarnya ke atas dua bayi tersebut.

“Oleh itu, mahkamah perlu beri satu hukuman bersesuaian dengan perbuatan kamu dan ia sebagai pengajaran kepada kamu, masyarakat, taska atau pusat asuhan, juga supaya kamu menjadi orang lebih baik pada masa depan.”

Pada 21 Mei lalu, Nurul Shahira A’shiqin mengaku bersalah atas pertuduhan cuai terhadap seorang bayi perempuan sembilan bulan dan seorang bayi lelaki tujuh bulan di sebuah taska.

Wanita itu didakwa bertindak secara cuai dengan cara yang mungkin menyebabkan dua mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah taska di Taman Mutiara Rini, di sini, kira-kira 1 tengah hari Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, dan sebagai tambahan tertuduh boleh dikenakan bon berkelakuan baik serta melakukan khidmat masyarakat.

Ahli keluarga bayi perempuan berusia sembilan bulan itu turut hadir di mahkamah hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.