
Sumber berkata, langkah PH itu bagi menunjukkan wujud “perpaduan sejati” dalam amalannya dan bukan retorik semata-mata, dengan dua gabungan itu bertanding sebagai pakatan dalam PRN minggu lalu.
Katanya, mengetepikan BN akan merugikan kerajaan perpaduan negeri, yang terjejas teruk selepas tewas 22 daripada 37 kerusi majoriti Melayu kepada Perikatan Nasional (PN).
Daripada 32 kerusi PH, 15 dimenangi DAP, PKR (12) dan Amanah (5).
Sumber berkata, barisan exco terakhir mempunyai 11 orang, termasuk Menteri Besar, Amirudin Shari ketika itu.
Terdapat enam wakil PKR, DAP (3) dan Amanah (2). DAP turut diberikan jawatan speaker DUN.
“Calon PH daripada Amanah kali ini hanya memenangi lima kerusi berbanding lapan sebelum ini, manakala jumlah kerusi di bawah PKR menurun daripada 21 kepada 12.
“Kemungkinan besar salah satu jawatan exco mereka akan diberikan kepada BN kali ini,” kata sumber itu.
Satu lagi sumber berkata, DAP diberikan tiga jawatan exco dan seorang speaker dalam kerajaan negeri terdahulu, dan ia dilihat berkemungkinan sama kali ini, tetapi keputusan itu belum muktamad.
“Komposisi exco dalam kalangan parti PH pada penggal lalu berfungsi dengan baik. Namun, exco ternyata akan terus dianggotai kebanyakannya Adun Melayu, walaupun lebih ramai bukan Melayu (dari PH).”
Sumber itu berkata, Amirudin mungkin mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada Sabtu seperti dijanjikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang juga pengerusi PH.
“Sebuah portal berita membuat spekulasi dia mungkin digantikan, tetapi buat masa ini, dia adalah pencabar nombor satu. Kerajaan akan kelihatan teruk jika memungkiri janji pilihan rayanya.”
Beliau berkata, ini akan berlaku selepas Sultan Selangor memperkenankan pelantikan itu.
DAP sebelum ini mengumumkan BN akan diberikan satu jawatan exco di Pulau Pinang, walaupun Umno hanya memenangi dua kerusi dalam PRN Sabtu lalu.