
Suhaizan, bekas speaker DUN Johor akan bertanding bagi kerusi Parlimen Pulai, manakala Nazri bagi DUN Simpang Jeram.
Kerusi-kerusi itu sebelum ini disandang oleh Salahuddin Ayub, timbalan presiden Amanah dan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup yang meninggal dunia pada 23 Julai lepas pada usia 61 tahun.
Suhaizan, 50, sebelum ini berkhidmat sebagai setiausaha politik Salahuddin.
Menurut Amanah, mengikut konvensyen, tiga nama diperlukan untuk dipertimbangkan jawatankuasa pemilihan calon. Bagaimanapun, dalam kes Suhaizan, tiada keperluan untuk nama lain disenarai pendek memandangkan beliau calon pilihan akar umbi, tambahnya.
Suhaizan ialah bekas pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia.
Beliau memulakan kerjaya politiknya sebagai aktivis pelajar sebelum menjadi ketua Pemuda PAS dan salah seorang pengasas bersama Amanah pada 2015. Beliau dilantik menjadi speaker DUN Johor pada 2018, jawatan yang disandangnya sehingga tahun lepas.
Sementara itu, Nazri, 30, jurutera dengan Majlis Perbandaran Muar, ialah timbalan ketua Amanah Bakri.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 Ogos sebagai hari penamaan calon bagi PRK di kedua-dua kawasan itu, manakala pengundian diadakan 9 Sept. Pengundian awal ditetapkan pada 5 Sept.