Guna tema berbeza, PN tak bantu bina perpaduan, kata timbalan menteri

Guna tema berbeza, PN tak bantu bina perpaduan, kata timbalan menteri

Teo Nie Ching berkata sambutan kemerdekaan sepatutnya menjadi titik perpaduan.

Semalam, PN melancarkan logo dan tema Hari Kebangsaan yang akan digunakan komponen itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Teo Nie Ching membidas Perikatan Nasional (PN) yang cuba menyemarakkan pertelingkahan politik dengan cadangan menggunakan tema dan logo berbeza sempena Hari Kebangsaan ke-66 di empat negeri ditadbirnya.

Timbalan menteri komunikasi dan digital itu berkata sambutan kemerdekaan sepatutnya menjadi titik perpaduan bukan untuk mengadu domba dan membangkitkan sengketa yang mampu memecah belahkan masyarakat.

“Tindakan PN langsung tidak membantu dalam usaha membina perpaduan negara,” katanya kepada FMT.

Semalam, PN memperkenalkan logo berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan digabungkan elemen warna pada Jalur Gemilang dengan tema ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’.

Mei lalu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengumumkan ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini dengan mengangkat Malaysia Madani sebagai logo rasmi.

Ketua Pemudanya Ahmad Fadhli Shaari logo dan tema itu bakal digunakan untuk ucapan pimpinan PN sempena Hari Kebangsaan, namun akan mencadangkanya diperluaskan ke peringkat kerajaan negeri ditadbir PN iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, serta Perlis.

Fadhli mendakwa rakyat boleh menerima “langkah politik” seperti dicerminkan pada PRN 12 Ogos lalu.

Sementara itu, Teo menyeru rakyat Malaysia agar bersatu mendepani “usaha-usaha jahat” yang cuba memecahkan semangat perpaduan antara masyarakat berbilang kaum di negara.

“Sekarang masanya untuk rekonsilisasi dan menyatupadukan, bukan untuk menyemai perkelahian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.