Isu tak puas hati agihan exco Kedah selesai, kata ketua Bersatu negeri

Isu tak puas hati agihan exco Kedah selesai, kata ketua Bersatu negeri

Mohd Suhaimi Abdullah berkata isu itu tidak lagi berbangkit apabila tiga wakil rakyat Bersatu angkat sumpah sebagai exco kerajaan Kedah hari ini.

Tiga Adun bersatu antara 11 exco kerajaan Kedah diketuai Sanusi Nor. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Isu rasa tidak puas hati di kalangan ahli Bersatu Kedah kerana parti itu hanya diberi tiga kerusi exco kerajaan negeri telah selesai.

Ketuanya Mohd Suhaimi Abdullah berkata ini kerana majlis angkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini yang turut membabitkan tiga wakil rakyat parti itu berlangsung dengan baik.

Adun Bukit Kayu Hitam Halimaton Shaadiah Saad dilantik exco kebajikan, wanita, keluarga dan masyarakat dan perpaduan); Adun Suka Menanti Dzowahir Ab Ghani (exco pertanian, perladangan, dan pengangkutan) dan Adun Kubang Rotan Mohd Salleh Saidin (exco pelancongan, kebudayaan dan keusahawanan).

Turut mengangkat sumpah lapan wakil rakyat PAS dan Gerakan yang dipilih menyertai pentadbiran diketuai Menteri Besar Sanusi Nor.

“Semua dalam keadaan baik..semua exco (dilantik) telah pun selesai angkat sumpah, jadi sudah selesai isu itu tiada apa dah,” kata Suhaimi kepada FMT.

Semalam, media melaporkan wujud desas desus tidak puas hati di kalangan Bersatu apabila hanya tiga kerusi exco diberikan kepada mereka, berbanding lima termasuk speaker DUN sebelum PRN 12 Ogos lalu.

Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata setiap pelantikan exco negeri di negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN) termasuk Kedah diputuskan secara konsensus semua parti komponen.

“Tidak benar Bersatu tak puas hati diberi tiga jawatan exco di Kedah, keputusan dibuat secara konsensus,” katanya.

PN membentuk kerajaan Kedah selepas memenangi 33 daripada 36 kerusi pada PRN, 12 Ogos lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.