
Ketua Polis Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail, berkata dalam kejadian kira-kira 11 pagi semalam, mangsa berada di pejabatnya di Pandan Perdana bersama dua rakan perniagaan dan pemandunya sebelum didatangi kumpulan lelaki terbabit yang mahu berbincang tentang wang dipinjam ahli perniagaan berusia 56 tahun itu.
“Mangsa bagaimanapun tidak dapat menjelaskan hutang itu lalu dipukul sehingga mengalami bengkak di bahagian mata kiri serta cedera di kepala dan hidung,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, wang tunai milik mangsa turut dilarikan kumpulan lelaki terbabit.
Azam berkata, bertindak atas laporan, semua lelaki tempatan berumur 30 hingga 38 tahun itu ditahan dalam serbuan polis di sebuah kondominium di Puchong, awal pagi tadi.
Beliau berkata, semua suspek negatif ujian saringan dadah, namun empat daripada mereka mempunyai antara satu hingga empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Menurutnya, semua suspek direman hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompak berkumpulan sehingga mendatangkan kecederaan.