Tunjuk teladan baik, Puad gesa Muhyiddin arah menantu pulang bantu siasatan

Tunjuk teladan baik, Puad gesa Muhyiddin arah menantu pulang bantu siasatan

Puad Zarkashi berkata Muhyiddin Yassin tidak perlu takut jika menantunya tidak bersalah.

Muhammad Adlan Berhan dan Mansoor Saat dikehendaki SPRM bagi membantu siasatan sebuah projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan data biometrik pekerja asing.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno menggesa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menunjukkan teladan baik dengan mengarahkan menantunya pulang untuk membantu siasatan kes rasuah.

Ahli Majlis Kerja Tertingginya Mohd Puad Zarkashi berkata pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu tidak perlu memberi alasan dan takut jika yakin menantunya Muhammad Adlan Berhan yang berada di luar negara sejak Mei lalu tidak bersalah.

“Sepatutnya Muhyiddin dengan slogan PN Best tunjuk teladan baik. Dia masih mahu jadi PM? Suruhlah menantu balik, takut apa kalau tak bersalah.

“Pernahkan anak-anak bekas PM melarikan diri?,” katanya di Facebook sambil mencabar Muhyiddin membuat kenyataan terbuka mengenainya.

Minggu lalu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan Adlan bersama peguam Mansoor Saat kini dalam senarai Notis Merah Interpol untuk mendapat kerjasama antarabangsa bagi membawa pulang kedua-duanya.

Adlan dan peguam Mansoor Saat dikehendaki Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan sebuah projek membabitkan pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan data biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Tetapi, Adlan dan Mansoor kemudiannya mengeluarkan kenyataan melalui peguam menafikan mereka melarikan diri daripada undang-undang.

Adlan melalui peguamnya Baljit Singh Sindhu berkata beliau akan kembali ke Malaysia untuk membantu SPRM dengan sebarang siasatan selagi “unsur ancaman dan penganiayaan dihapuskan”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.