Dedahkan kertas siasatan Teoh Beng Hock, peguam gesa kerajaan

Dedahkan kertas siasatan Teoh Beng Hock, peguam gesa kerajaan

Ambiga Sreenevasan, Ramkarpal Singh dan Lim Wei Jiet berkata, kertas siasatan polis harus didedahkan jika tiada yang hendak disembunyikan.

Teoh Beng Hock
 Keluarga Teoh Beng Hock Bersama peguam pada sidang media hari ini. (Gambar keluarga Teoh Beng Hock)
PETALING JAYA:
Peguam mewakili keluarga Teoh Beng Hock menggesa kerajaan agar segera mendedahkan semua kertas siasatan polis berhubung kematiannya bagi tempoh 2009 hingga 2025.

Ambiga Sreenevasan, Ramkarpal Singh dan Lim Wei Jiet menegaskan, kerajaan mestilah bersikap telus sepenuhnya mengenai siasatan kes kematian Teoh.

Peguam berkata, keluarga Teoh berhak tahu mengapa Jabatan Peguam Negara menolak kertas siasatan polis sebanyak lapan kali, sepertimana yang didedahkan semasa semakan kehakiman pada November tahun lepas.

“Jika tiada apa hendak disembunyikan daripada pengetahuan awam, kertas siasatan polis tersebut harus didedahkan,” kata mereka dalam kenyataan bersama.

Mereka turut menzahirkan rasa kecewa terhadap sikap Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang berdiam diri selepas siasatan itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) Mei lepas, yang dianggap bercanggah dengan kelantangan beliau menuntut keadilan bagi Teoh sebelum ini.

Pada Ogos tahun lepas, Anwar menjanjikan siasatan baharu akan dijalankan berhubung kematian Teoh susulan pertemuan dengan keluarganya.

Beliau kemudian menyatakan bahawa kerajaan telah bersetuju agar pihak polis membuka semula siasatan tersebut secara telus dan tanpa sebarang campur tangan.

Pada 21 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi mengarahkan polis untuk melengkapkan siasatan berhubung kematian Teoh yang telah lama tertangguh.

Menurut Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh, polis telah mula menyiasat kes itu sejak 2019 di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan berkaitan pengurungan secara salah.

Mahkamah turut mendedahkan bahawa kertas siasatan polis telah dirujuk kepada pendakwa raya sebanyak lapan kali. Kes itu bagaimanapun akhirnya diklasifikasikan sebagai NFA pada Mei lepas.

Teoh, pembantu Exco Selangor ketika itu Ean Yong Hian Wah, ditemukan meninggal dunia pada Julai 2009 di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam.

Mayatnya ditemukan hanya beberapa jam selepas beliau hadir untuk sesi soal siasat di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di bangunan sama.

Inkues pada mulanya mencapai keputusan terbuka, namun pada 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kematian Teoh berpunca daripada tindakan ‘seorang atau lebih individu tidak dikenal pasti’, termasuk pegawai SPRM.

Dua pasukan siasatan khas ditubuhkan pada 2011 dan 2015 untuk menyiasat kematian Teoh, namun hasil kedua-duanya turut menjurus ke arah kes diklasifikasikan sebagai NFA.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.