Wanita cari rebung, tapi jumpa peluru mortar

Wanita cari rebung, tapi jumpa peluru mortar

Polis berkata, objek itu ialah peluru jenis mortar ‘60mm practice’ dalam keadaan berkarat dan dipercayai telah dilancarkan.

Ketua Polis Melaka Tengah, Christopher Patit mengesahkan peluru mortar itu tidak mengandungi bahan letupan. (Gambar PDRM)
MELAKA:
Seorang wanita menjumpai satu objek dipercayai peluru mortar ketika mencari rebung di semak dekat tepi jalan di Taman Tanjung Minyak di sini.

Ketua Polis Melaka Tengah, Christopher Patit berkata objek itu ditemui di bawah pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kawasan itu kira-kira 3.15 petang tadi.

“Pengadu berusia 32 tahun itu berkunjung ke rumah adiknya untuk bercuti dan memasak di luar rumah sempena menyambut ulang tahun kelahiran ibu mereka.

“Pengadu memaklumkan dia ke kawasan semak tersebut untuk mencari rebung sebagai bahan masakan dan menemui objek menyerupai bom,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, jarak dari rumah adik pengadu ke lokasi bom dijumpai itu kira-kira 30m.

Berdasarkan laporan itu, katanya, sepasukan polis dari Unit Pemusnah Bom IPK Melaka menjalankan pencarian di sekitar kawasan terbabit dan tiada menemui objek lain mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati objek dilaporkan itu merupakan peluru jenis mortar ‘60mm practice’ dalam keadaan berkarat dan dipercayai telah dilancarkan. Objek juga disahkan tidak mengandungi bahan letupan.”

Sepanjang tindakan, katanya, tiada kemalangan atau kerosakan harta benda awam dan objek itu dibawa ke pengkalan untuk tindakan lanjut berikutan kawasan terbabit tidak sesuai melupuskan barang kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.