Isu komunikasi PRN: Anwar akui kerajaan boleh lakukan lebih baik lagi

Isu komunikasi PRN: Anwar akui kerajaan boleh lakukan lebih baik lagi

Anwar Ibrahim bersetuju dengan seorang pelajar yang membayangkan ‘jentera komunikasi yang lemah’ salah satu sebab prestasi pemerintah merosot pada PRN baru-baru ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada dialog di UTM berkata golongan muda boleh memainkan peranan dalam menepis pembohongan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengakui kerajaan boleh melakukan lebih baik lagi dalam berkomunikasi dengan rakyat, pada PRN enam negeri bulan lepas.

Beliau membuat pengakuan itu selepas seorang pelajar pada dialog dihadirinya di Universiti Teknologi Malaysia di Skudai, Johor membayangkan “jentera komunikasi yang lemah” salah satu sebab prestasi pemerintah merosot pada PRN baru-baru ini, berbanding Perikatan Nasional (PN).

Pelajar itu menekankan setiap hari kerajaan dikritik dan difitnah pelbagai pihak khususnya di media sosial dan ia menghalang keupayaan kerajaan menyampaikan mesej kepada rakyat secara berkesan.

Dia juga berkata kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan dilihat tidak berkesan, justeru menunjukkan betapa pentingnya cara kerajaan menyebarkan maklumat diperbaharui. Pelajar itu berkata kerajaan perlukan “unit media yang kuat”.

“Saya berterima kasih kepada Syed Ali (pelajar). Betul ada kelemahan kita dalam komunikasi. Saya akui,” kata Anwar.

Menyedari pelbagai tuduhan yang dilemparkan oleh pesaing politiknya, Anwar menyeru golongan muda yang hadir pada dialog itu supaya memainkan peranan dalam menyebarkan maklumat yang tepat.

“Anda juga boleh mainkan peranan, bukan saya sahaja. Anda kena panggil kawan-kawan yang ribuan ini tolong terangkan yang betul dan pertahankan yang benar,” kata Anwar.

Anwar kemudian berkongsi bagaimana beliau dihujani tuduhan beliau “alat DAP” kerana bekerjasama dengan parti itu dalam Pakatan Harapan (PH).

Beliau juga bercakap mengenai dikritik kerana menggunakan helikopter dan pesawat kerajaan, walaupun beliau menjalankan urusan rasmi.

Anwar berkata beliau juga dituduh tunduk kepada China setiap kali berunding dengan republik itu.

Ini bukan kali pertama Anwar berdepan gesaan untuk menambah baik cara kerajaan berkomunikasi dengan rakyat dan menjelaskan dasar atau rancangannya.

Bulan lalu, Adun Skudai Marina Ibrahim menyeru Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Masyarakat (J-Kom) Agus Yusof meletakkan jawatan berikutan kemenangan PN pada PRN.

Pada April lalu, bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin menasihatkan Anwar supaya lebih berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan membabitkan subjek sensitif kerana ia boleh memakan dirinya.

Khairy berkata beliau menyedari bahawa kadangkala Anwar mempunyai tabiat menggunakan ayat dan kenyataan tidak lengkap atau tergantung, sebelum beralih kepada ayat baharu, sekaligus membuatkan pendengarnya keliru.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.