
Presiden Amanah itu berkata Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri itu mengeluarkan “fatwa” seperti itu akibat terpengaruh dengan PAS, rakannya dalam Perikatan Nasional (PN).
“Saya tak sangka Muhyiddin orang yang saya hormat. Saya jarang sentuh beliau tapi bila beliau buat “fatwa” haram undi calon kita, inilah akibat berkawan dengan PAS,” katanya dalam satu ceramah di Pulai malam tadi.
Mohamad mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pagoh itu semasa Ceramah Perdana di Dataran Utama, Kempas pada Sabtu bahawa “haram memberikan undi kepada Suhaizan.”
Kata beliau lagi, pengundi mesti menolak fahaman seperti itu dan dengan memastikan calon PH menang di PRK Parlimen Pulai serta DUN Simpang Jeram.
“Tanda tak izinkan (budaya negatif masuk ke Johor) kita kena menangkan Pulai dan DUN Simpang Jeram,” kata Mohamad.
PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dijalankan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup Salahuddin Ayub pada 23 Julai.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal pada 5 Sept dan hari mengundi pada 9 Sept.