Keputusan kes Zahid beri jaminan terhadap kerajaan Anwar, kata Wan Fayhsal

Keputusan kes Zahid beri jaminan terhadap kerajaan Anwar, kata Wan Fayhsal

Ketua Pemuda Bersatu berkata keputusan itu akan memastikan kerajaan perpaduan lebih stabil, sekali gus menjadikan perdana menteri ‘orang paling gembira hari ini’.

Wan Ahmad Fayhsal berkata kerajaan Anwar Ibrahim akan menjadi lebih stabil selepas keputusan mahkamah terhadap Zahid Hamidi.
PETALING JAYA:
Keputusan memberikan Presiden Umno Zahid Hamidi pelepasan bersyarat atas tuduhan rasuah akan menjadikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim “orang paling gembira hari ini”, menurut Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Beliau berkata, kerajaan perpaduan Anwar akan menjadi lebih stabil. “Ia adalah jaminan yang sudah tentu akan dinyatakan oleh presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional,” katanya merujuk kepada Zahid, yang memegang kedua-dua jawatan itu.

Kerajaan perpaduan Anwar dibentuk oleh gabungan parti Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Malaysia Timur, yang memiliki 147 kerusi di Dewan Rakyat, di mana BN memegang 30 kerusi melalui Umno (26), MCA (2), MIC (1) dan PBRS (1).

Wan Fayhsal berkata, keputusan Zahid mewujudkan satu contoh undang-undang yang buruk, dan kerajaan Anwar “mesti bertanggungjawab atas malapetaka ini”.

“Keputusan itu amat mengejutkan terutama apabila pihak pendakwaan di bawah ketua pendakwaan sebelum ini, Raja Rozela Raja Toran, telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Zahid,” katanya.

Beliau mempersoalkan mengapa Zahid tidak dibenarkan terus membela diri dalam perbicaraan itu. “Sekiranya Zahid mempunyai pembelaan yang baik, kenapa tarik semula kes pada peringkat ini? Inilah masanya untuk Zahid membuktikan pada masyarakat dan rakyat beliau sebenarnya tidak bersalah sama sekali,” kata Wan Fayhsal.

Zahid didakwa menggelapkan berjuta-juta ringgit daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa menjadi menteri dalam negeri antara 2013 dan 2018.

Pada sambungan perbicaraan pagi ini, Zahid diberikan pelepasan bersyarat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah atas permohonan pihak pendakwaan. Peguam Zahid, Hisyam Teh Poh Teik meminta mahkamah membebaskan Zahid.

Keputusan melepas tanpa membebaskan itu membolehkan pihak pendakwaan menyambung semula atau membawa kes terhadap Zahid bila-bila masa pada masa hadapan, berdasarkan fakta dan bukti sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.