Kerajaan tak campur tangan kes Zahid, kata Fadillah

Kerajaan tak campur tangan kes Zahid, kata Fadillah

Timbalan perdana menteri berkata kerajaan menghormati proses perundangan dan beliau yakin keputusan itu dibuat berdasarkan fakta yang kukuh.

Fadhillah Yusof berkata semua pihak seharusnya menghormati keputusan mahkamah selepas proses sepatutnya seperti yang termaktub dalam sistem perundangan, telah dilalui. (Gambar Bernama)
SUBANG:
Kerajaan tidak campur tangan dan menghormati proses perundangan dalam keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, dalam kes pecah amanah melibatkan Yayasan Akalbudi (YAB).

Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, berkata selain percaya kepada proses pengasingan kuasa antara Parlimen, eksekutif dan badan kehakiman, beliau yakin keputusan dibuat itu berdasarkan fakta yang kukuh.

“Jadi bagi saya biarlah proses perundangan itu berjalan dengan baik dan kita hormatilah.

“Kita tidak akan campur tangan, terserahlah kepada pihak Pejabat Peguam Negara untuk menilai apa tindakan seterusnya,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, di sini.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah hari ini melepas tanpa membebaskan Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana YAB, selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding, kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata semua pihak seharusnya menghormati keputusan mahkamah, selepas proses sepatutnya sebagaimana yang termaktub dalam sistem perundangan telah dilalui.

“Saya rasa selain yang ini, banyak keputusan lepas juga menjadi keputusan yang kontroversi tapi bagi saya itu hak mutlak mahkamah, jadi sebaiknya kita hormatilah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.