KPN bantah dakwaan polis ‘dicucuk hidung’ dalam siasatan 3R

KPN bantah dakwaan polis ‘dicucuk hidung’ dalam siasatan 3R

Razarudin Husain mengingatkan bahawa polis membuat tangkapan dalam siasatan ke atas dakwaan mengaibkan menteri besar Kedah.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain, berkata larangan membuat ucapan berunsur kebencian terpakai kepada semua tanpa mengira kecenderungan politik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menafikan pasukan itu menurut kemahuan ahli politik melalui siasatan ke atas kes menyentuh kaum, agama, dan institusi diraja (3R).

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata pentadbiran sebelum ini juga berdepan dengan isu-isu 3R dan mana-mana kerajaan pun tidak mahu ia mencetuskan kacau bilau.

Pegawai tertinggi polis itu juga mengingatkan bahawa siasatan dan tangkapan dibuat ke atas dakwaan mengaibkan Menteri Besar Kedah Sanusi Nor.

Beliau merujuk kepada kes pada Ogos 2021, yang mana seorang warga emas ditangkap selepas pegawai khas Sanusi membuat laporan polis berhubung komen berkait kontena sementara untuk menyimpan mayat pesakit Covid-19.

Sanusi merupakan pemimpin penting dalam PAS dan Perikatan Nasional.

“Jadi mengatakan polis dicucuk hidung oleh ahli politik, itu tak betul lah,” katanya, menjawab pertanyaan pemberita berhubung dakwaan siasatan 3R ada kaitan politik, ketika ditemui di simposium sains forensik di Maktab Polis.

Dalam pada itu, Razarudin mengingatkan semua pihak bahawa larangan membuat ucapan berunsur kebencian terpakai kepada semua orang tanpa mengira kecenderungan politik.

“Kita akan ambil tindakan serius. Kita takkan buka peluang. Kita tak mahu raja-raja dihina, dikutuk, atau difitnah, dan juga mana-mana isu agama dan bangsa yang memecahbelahkan semangat setia kawan,” katanya.

Mengulas perkembangan lain, Razarudin berkata kertas siasatan melibatkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung dakwaan menghina raja telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Selasa.

Satu lagi kertas siasatan terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang kerana menghasut juga sudah diserahkan kepada AGC pagi tadi. Siasatan libat Hadi berkait ulasannya terhadap bidang kuasa Lembaga Pengampunan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.