
Presidennya, Karen Cheah, berkata ketika pihak pendakwaan memohon DNAA, peguam kepada timbalan perdana menteri itu mendesak untuk pembebasannya.
“Biar kita jelas dan jangan tersilap tentang perkara ini. Hakim Mahkamah Tinggi tidak mempunyai alternatif selain memutuskan sama ada DNAA atau pembebasan,” katanya merujuk kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah.
“Oleh itu, ia tidak meyakinkan bagi Jabatan Peguam Negara (AGC) mengaitkan penarikan balik sepenuhnya kes itu kepada Mahkamah Tinggi dan menggunakannya sebagai alasan dalam kenyataannya dan bukannya memberikan penjelasan terperinci.”
Pada Selasa, AGC mempertahankan keputusannya memohon DNAA dalam kes Zahid yang dikritik ramai, dengan menegaskan alasan dikemukakannya di hadapan Sequerah dianggap “cogent” (meyakinkan).
Cheah, bagaimanapun, berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh AGC sama sekali tidak mempunyai justifikasi yang sewajarnya berhubung mengapa ia meminta DNAA.
Pada Isnin, Zahid telah diberikan DNAA bagi semua 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram.
Zahid, yang sebelum ini diperintahkan membela diri atas semua pertuduhan, didakwa menggelapkan jutaan ringgit daripada yayasannya, Yayasan Akalbudi, dan menerima rasuah untuk pelbagai projek sepanjang menjadi menteri dalam negeri antara 2013 dan 2018.
Cheah seterusnya berkata keputusan AGC untuk memohon DNAA pada “saat yang begitu lewat” telah mencemarkan reputasi dan kredibilitinya sendiri sebagai pihak pendakwa, dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan penyiasat.
Menurutnya, Sequerah juga berkata sekiranya pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan pertuduhan pada masa akan datang, “masa berharga mahkamah dan wang pembayar cukai sudah terbazir begitu sahaja”.
Dalam perkara ini katanya, peguam negara mesti bertanggungjawab.
Cheah juga berkata kes Zahid telah menjadikan cadangan pengasingan pejabat peguam negara dan pejabat pendakwa raya, semakin mendesak untuk dilaksanakan menjelang 2024.
“Ini supaya sistem keadilan jenayah kita diperkukuh untuk menghapuskan prospek dan/atau keadaan berat sebelah dalam cara ahli politik didakwa, dan dalam cara pertuduhan terhadap mereka ditarik balik,” katanya.