Bukan mudah ketepi perbezaan sokong kerajaan perpaduan, akui Loke

Bukan mudah ketepi perbezaan sokong kerajaan perpaduan, akui Loke

Setiausaha agung DAP berkata walau apa juga kaum dan agama, semua hendakkan negara stabil, aman, ekonomi berkembang dan peluang untuk berjaya dalam kehidupan.

Loke Siew Fook (tengah, belakang) bergambar bersama ahli Wanita Umno dan PKR yang menghadiri Kongres Kebangsaan Wanita DAP di Klang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengetepikan perbezaan dalam mewujudkan kerajaan perpaduan menerajui negara ketika ini.

“Saya tahu bukan mudah untuk semua pihak. Tidak mudah untuk rakan daripada Umno-Barisan Nasional, tidak mudah juga untuk rakan dari PKR tetapi saya ingin bawa satu kebersamaan iaitu semangat dan sifat manusiawi. Kalau kita semua ada semangat manusiawi, inilah yang akan menyatupadukan kita.

“Aspirasi kita, walau apa juga kaum dan agama, semua hendakkan negara stabil, aman, ekonomi berkembang dan semua pihak ada peluang untuk berjaya dalam kehidupan, mendapat peluang pendidikan baik serta kesihatan baik dan akhirnya kita boleh hidup dalam keadaan baik,” katanya menurut Bernama ketika berucap pada perasmian Kongres Kebangsaan Wanita DAP 2023 di Klang.

Loke turut menegaskan DAP berkali-kali menyatakan parti itu menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan khususnya Islam sebagai agama persekutuan, kedudukan raja Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak istimewa orang Melayu.

Beliau berkata, perkara itu antara hala tuju dan kerangka perjuangan parti berkenaan dalam membangunkan masyarakat dan akan memastikan masyarakat yang dibentuk itu progresif serta meraikan kepelbagaian.

Katanya, sikap toleransi dalam bermasyarakat dan mengambil jalan sederhana ketika berpolitik adalah asas bagi memastikan Malaysia menjadi negara contoh kepada dunia dalam pelbagai aspek.

Menurutnya, politik dalam masyarakat majmuk dan berbilang agama di Malaysia tidak seharusnya dibawa oleh suara-suara keterlaluan serta ekstrem kerana ia boleh membawa negara ke arah kehancuran.

“Semua pihak mesti mengakui sebagai sebuah negara majmuk, kita perlu ada sifat tolak ansur, toleransi dan mengambil jalan sederhana sebagai suatu semangat yang bersifat arus perdana kerana kejayaan Malaysia adalah (apabila) kita boleh hidup dengan baik walaupun dengan kepelbagaian kaum dan agama.

“Ia mesti difahami dan diterap untuk pastikan negara boleh bangkit semula secara bersama di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan untuk keluar daripada pelbagai cabaran,” katanya.

Sementara itu, Loke berkata kongres berkenaan kali pertama dihadiri wakil Wanita BN dan kehadiran mereka disifatkan sebagai permulaan baik serta berharap semangat hubungan tersebut dapat diraikan sehingga ke peringkat akar umbi.

Seramai 305 perwakilan wanita DAP seluruh negara hadir ke kongres tahunan berlangsung hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.