
“Ada dua IP (kertas siasatan) dibuka terhadap Muhyiddin susulan kenyataan beliau (berhubung) ‘fatwa’ dan kenyataan berkenaan orang Melayu akan hilang kuasa,” katanya kepada pemberita di Johor Bahru, lapor Bernama.
Ayob Khan berkata, buat masa ini, tiada kertas siasatan baharu dibuka melibatkan pemimpin parti politik lain berhubung isu 3R.
Terdahulu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain dilaporkan berkata, Muhyiddin akan dipanggil pada 12 Sept untuk memberikan keterangan.
Sabtu lepas, Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa “haram memberikan undi” kepada calon PH Suhaizan Kayat, pada Ceramah Perdana di Dataran Utama Kempas, Johor Bahru, ketika kempen PRK Parlimen Pulai.
Ahli Parlimen Pagoh itu juga dilaporkan mengeluarkan kenyataan mendakwa parti orang Melayu dilihat sudah hilang kuasa, selain mendakwa kerajaan ketika ini seolah-olah tidak faham masalah orang Melayu.
Pada 4 Sept, Razarudin Husain dilaporkan berkata, polis membuka kertas siasatan terhadap Muhyiddin mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
Mengulas mengenai siasatan terhadap Presiden PAS Hadi Awang, Ayob Khan berkata, polis telah melengkapkan kertas siasatan dan ia telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.