
Beliau yang juga timbalan setiausaha agung DAP berkata kemenangan itu satu permulaan baik untuk gabungannya bersama Barisan Nasional (BN) untuk menghentikan politik ekstrem dibawa Perikatan Nasional (PN) daripada bertapak di Johor serta seluruh negara.
“Ini kemenangan Bangsa Johor yang menolak politik ekstrem, ini juga kemenangan ‘politik jalan tengah’ di mana kita tidak main sentimen tetapi tunjuk bahawa kerajaan perpaduan adalah parti pemerintah baik.
“Ini permulaan baik untuk hubungan BN-PH, bahawa gelombang PN tidak berjaya bertapak di Johor dan seluruh negara,” katanya berucap meraikan kemenangan PH di Pulai.
Pada PRK hari ini, Suhaizan Kayat menang dengan majoriti 18,641 undi di Parlimen Pulai manakala Nazri Abdul Rahman mendapat majoriti 3,514 undi di DUN Simpang Jeram.
PRK itu diadakan susulan kekosongan luar jangka akibat pemergian penyandangnya Salahuddin Ayub yang juga timbalan presiden Amanah pada 23 Jul lalu.
Sementara itu, Naib Presiden Umno Khaled Nordin berkata kemenangan PH itu membuktikan pengundi Johor menolak sentimen perkauman PN.
“Mereka tidak terpengaruh dengan sentimen PN, saya percaya apa yang kita buat di Johor adalah permulaan kepada semangat kerajaan perpaduan,” katanya.