
Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang berkata dakwaan sedemikian hanya bersandarkan sangkaan dan cubaan mengaitkan seseorang dengan kesalahan orang lain, bukannya berdasarkan bukti sebenar, lapor Borneo Post.
Lo berkata ahli politik lazimnya berurusan dan berinteraksi dengan orang ramai, penganjur acara serta ahli perniagaan, dan perkara itu tidak boleh dianggap sebagai satu kesalahan.
“Hujah dikemukakan Adun Padungan Chong Chieng Jen, amat lemah kerana dibuat atas sangkaan dan cubaan mengaitkan kesalahan melalui pergaulan, bukan berdasarkan bukti.
“Sekadar hadir bersama pemimpin politik di majlis awam, program tajaan atau program komuniti tidak membuktikan wujudnya penglibatan jenayah, pakatan politik atau salah laku institusi.
“Jika logik seperti itu diterima, hampir semua parti politik di Malaysia boleh dituduh hanya berdasarkan gambar atau kehadiran ribuan orang awam, ahli perniagaan, penyumbang dana atau tokoh masyarakat dalam pelbagai acara sejak bertahun-tahun lalu,” katanya.
Lo yang juga timbalan setiausaha agung SUPP mengulas kenyataan Chong yang sebelum ini menyuarakan kebimbangan mengenai kehadiran beberapa ‘individu’ dalam majlis membabitkan SUPP, selepas mereka ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kegiatan kongsi gelap.
Pengerusi DAP Sarawak itu mempersoalkan sama ada kehadiran individu berkenaan dalam acara yang turut dihadiri pemimpin politik boleh menimbulkan persepsi negatif.
Lo bagaimanapun menegaskan individu yang ditahan itu masih belum disabitkan kesalahan dan perkara berkenaan wajar diserahkan kepada pihak berkuasa serta mahkamah.
“Daripada membincangkan penyelesaian, dasar atau cadangan membina untuk Sarawak, Chong cuba menimbulkan kecurigaan dan merosakkan imej politik pihak tertentu melalui nama, kehadiran di majlis serta sindiran terpilih yang disiarkan secara langsung di televisyen.
“Gaya politik seperti itu mungkin mampu mencipta tajuk berita, tetapi tidak meningkatkan mutu perbahasan di dewan ini,” katanya.