Umno sahabat setia, bantu raih lebih 50% undi Melayu, kata Mat Sabu

Umno sahabat setia, bantu raih lebih 50% undi Melayu, kata Mat Sabu

Mohamad Sabu berkata tidak mustahil PH-BN mampu menang besar pada PRU akan datang jika momentum itu berterusan.

Mohamad Sabu berkata kemenangan PRK Pulai dan Simpang Jeram menolak ombak politik melampau dibawa PN.
PETALING JAYA:
Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata kemenangan besar Pakatan Harapan (PH) pada PRK Pulai dan Simpang Jeram hari ini disumbangkan hasil undi lebih 50% daripada pengundi Melayu terutamanya Umno.

Mohamad berkata kemenangan itu membuktikan Umno sebagai sahabat setia selepas PH-Barisan Nasional (BN) berdepan cabaran susulan keputusan PRN di enam negeri bulan lalu yang menyaksikan banyak kerusinya dikuasai Perikatan Nasional (PN).

Beliau mengakui pada awalnya bimbang melalui dua PRK itu kesan keputusan PRN, namun bertukar kepada keyakinan melihat kesungguhan pemimpin Umno berkempen untuk calon PH Suhaizan Kayat (Pulai) dan Nazri Abdul Rahman (Simpang Jeram).

“Presiden Umno (Zahid Hamidi), timbalannya (Mohamad Hasan), ketua Umno Johor (Khaled Nordin) dan MB (Onn Hafiz Ghazi) begitu komited,” katanya berucap di Pulai.

“Rakan-rakan Umno buktikan (jawab) kebimbangan kita yang undi Melayu hanya tinggal 10%, kita lihat peti undi dapat lebih 50% sokongan Melayu.”

Mohamad berkata jika momentum seperti itu berterusan ditambah usaha kerajaan perpaduan berkhidmat baik untuk rakyat, tidak mustahil PH-BN akan mendapat sokongan pada PRU akan datang.

“Insya-Allah kita akan mencapai kemenangan lebih besar empat tahun lagi.

“Memang ini hanya PRK, tetapi kemenangan ini menolak ombak politik melampau (dibawa PN),” katanya yang memberi komitmen Amanah untuk membantu BN pada PRK DUN Pelangai bulan depan.

Pada PRK hari ini, Suhaizan menang dengan majoriti 18,641 undi manakala Nazri mendapat majoriti 3,514 undi.

PRK itu diadakan susulan kekosongan luar jangka akibat pemergian penyandangnya Salahuddin Ayub yang juga timbalan presiden Amanah pada 23 Julai lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.