
PETALING JAYA: Polis sedang menyiasat insiden anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilanggar seorang penunggang motosikal yang cuba melarikan diri daripada sekatan jalan di KM28 Lebuhraya Seremban-Port Dickson pagi tadi.
Video tular kejadian pada 11 pagi itu menunjukkan saat anggota JPJ itu tercampak beberapa meter selepas dirempuh penunggang motosikal itu.
Anggota itu yang dilaporkan cedera di otot leher, kepala serta bengkak pada tangan dan kaki, dibenarkan pulang ke rumah selepas dirawat di Hospital Port Dickson.
JPJ dalam kenyataan berkata, hasil semakan mendapati penunggang motosikal berusia 25 tahun itu tiada lesen memandu, insurans dan cukai jalan tamat pada Julai 2012.
Motosikalnya disita JPJ selepas kejadian itu.
“Laporan polis telah dibuat (terhadap penunggang motosikal itu) dan dia diserahkan kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Port Dickson untuk tindakan lanjut.”
JPJ berkata, lelaki itu disiasat kerana menunggang motosikal secara cuai dan berbahaya.
Ketua Polis Port Dickson, Aidi Sham Mohamed dalam kenyataan berkata lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan penjawat awam.
Katanya, semakan mendapati suspek memiliki lapan rekod membabitkan kes jenayah dan dadah.
“Suspek akan dibawa ke mahkamah Port Dickson esok untuk proses tahanan reman.”