
Anwar Ibrahim berkata kerajaan melantik Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof bagi membincangkannya dan kaedah itu sama seperti ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) yang ketika itu di blok pembangkang berbincangan dengan kerajaan sehingga ia disalurkan selepas perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) ditandatangani.
“Ini tak payah sain dan bincang…kata ini hak kami, ini bukan hak Ahli Parlimen.
“Runding setuju kita luluskan, kalau tak sampai bila-bila pun kita tak luluskan.
“Runding jangan sombong dan angkuh tuntut,” kata Anwar yang juga menteri kewangan dalam penggulungan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12 di Dewan Rakyat.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata kerajaan perpaduan secara dasar bersedia memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, namun ia hanya membabitkan perbelanjaan berkaitan hal pentadbiran.
Rundingan berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang berkenaan sedang dilakukan Fadillah.
Terdahulu, Anwar turut menegur dakwaan beberapa Ahli Parlimen pembangkang bahawa mereka tidak menerima sebarang peruntukan, dengan memetik bahawa Parlimen Ketereh menerima 61 projek persekutuan bernilai RM 2.12 juta, dan sebanyak 73 projek bernilau RM3.7 juta di Parlimen Sik.
Beliau dicelah oleh Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang berkata ada perbezaan jelas antara peruntukan pembangunan projek bagi kawasan parlimen dan peruntukan terus untuk ahli Parlimen.
Bagaimanapun, Anwar meminta pembangkang mengeluarkan kenyataan lebih jelas: “Jangan kata tidak ada peruntukan (pembangunan) tetapi boleh sebut tidak ada peruntukan kepada ahli parlimen, biar spesifik.”