
Menjawab kritikan ramai terhadapnya termasuk beliau campur tangan dalam hal itu, Anwar berkata beliau hanya memohon penjelasan Idrus berhubung keputusan terbabit.
“Larut (Hamzah Zainudin) tanya, apakah saya berbincang apabila peguam negara buat keputusan, saya tanya dia betul, saya bukan bincang keputusan dia, saya tanya dia apa alasan (terhadap DNAA) dan dia bagi 11 alasan,” katanya semasa sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat.
Awal bulan lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Zahid daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang membabitkan dana Yayasan Akalbudi; selepas timbalan pendakwa raya memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin menghentikan semua prosiding pada peringkat itu.
Beliau dituduh menggelapkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa menjadi menteri dalam negeri antara 2013 dan 2018.
Susulan keputusan mahkamah itu, pelbagai pihak mendesak kerajaan terutama Anwar memberi penjelasan berhubung perkara itu termasuk di Dewan Rakyat.
Sementara itu, Anwar turut mengulangi kenyataannya bahawa Idrus tidak mahu membiarkan keputusan itu tergantung sebelum beliau bersara dan segala keputusan terletak di tangannya.
Menurutnya, Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa peguam negara mempunyai kuasa memulakan, menjalankan atau menghentikan sebarang prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera