Reformasi terus mekar, berkobar-kobar dalam hati rakyat, kata Amirudin

Reformasi terus mekar, berkobar-kobar dalam hati rakyat, kata Amirudin

Ketua PKR Selangor itu membidas tanggapan pihak tertentu bahawa perjuangan reformasi parti itu sejak 25 tahun lepas sudah mati.

Pengerusi PKR Selangor Amirudin Shari mengajak ahli parti terus berjuang dan bekerja untuk memastikan reformasi terus hidup, (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua PKR Selangor Amirudin Shari membidas pihak tertentu yang mengatakan perjuangan reformasi dibawa parti itu sejak 25 tahun lepas telah terkubur.

Sebaliknya, Amirudin yang juga menteri besar Selangor berkata, titik perubahan dan reformasi yang dibawa PKR masih terus dilaksanakan biarpun terdapat beberapa “perkembangan yang menjadi persoalan” bawah pentadbiran kerajaan perpaduan.

“Sebenarnya orang-orang ini sangat takut dan bimbang dengan reformasi dan tak mahu ia terus berlaku,” katanya pada Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Reformasi dan Perasmian Perdana Mesyuarat Agung Tahunan Cabang, Wanita dan Pemuda PKR Selangor 2023 malam tadi.

Amirudin percaya reformasi ke arah kebaikan akan terus mekar, berkobar-kobar dalam hati rakyat Malaysia dan tidak akan mati, sebagaimana reformasi yang berlaku di seluruh dunia.

Beliau berkata, kelompok berkenaan mahu gerakan reformasi mati kerana mereka tahu kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kini sudah membawa perubahan demi perubahan untuk negara.

“Justeru perubahan itu bukan hanya ditandai dengan kemenangan dalam pilihan raya atau kejayaan membentuk kerajaan majoriti dua pertiga, tetapi ditentukan oleh kecekalan semangat rakyat yang percaya bahawa perubahan perlu terus dilakukan (demi kebaikan).

“Marilah sama-sama pada sambutan 25 tahun reformasi ini, kita bangunkan keyakinan untuk terus berjuang dan bekerja untuk pastikan reformasi ini terus hidup, bukan hanya 10 tahun tetapi 100 tahun ke hadapan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.