
PETALING JAYA: Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor menolak dakwaan Tiong King Sing bahawa pelancong bukan Islam dilarang membeli alkohol atau berseluar pendek di Langkawi.
Katanya, kerajaan Kedah tidak akan menyiasat dakwaan tidak berasas oleh menteri pelancongan, seni dan budaya itu.
“Dia (Tiong) patut datang (Langkawi) dan lihat sendiri. Dia patut memakai seluar pendek di Langkawi dan lihat jika ada orang menghalangnya,” kata Sanusi kepada FMT.
Beliau berkata, Tiong boleh “minum seberapa banyak dia mahu” di Langkawi.
Terdahulu, Tiong dipetik The Sun Daily berkata pelancong mengadu kepada kementeriannya mengenai dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh pegawai kerajaan tertentu di Langkawi.
Menurut laporan itu, dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, Tiong mendakwa beberapa pegawai kerajaan didakwa mengganggu pelancong mengenai etika berpakaian dan pengambilan alkohol.
“Mereka bukan Islam, malah membeli arak dan berseluar pendek dilarang. Oleh itu, menteri besar perlu menjelaskan semuanya,” kata Tiong.