‘Kapten bot sekolah’ wira tak didendang

‘Kapten bot sekolah’ wira tak didendang

Ng Hock Eng, 59, satu-satunya individu sanggup galas tanggungjawab hantar anak-anak Kampung Bagan Sungai Kajang naik bot ke sekolah.

Kebanyakan kanak-kanak membesar di perkampungan nelayan itu menaiki bot ke sekolah.
KUALA SELANGOR:
Kelibat kanak-kanak berjaket oren di perkampungan nelayan bersedia menaiki bot demi menimba ilmu di sekolah seberang sungai bukanlah perkara janggal di Kampung Bagan Sungai Kajang.

Ketua Kampung Lim Hock Tiong, berkata murid di perkampungan itu menaiki bot ke sekolah sejak 1970an.

“Budak-budak ini nasib baik. Dulu tak ada bot tertentu untuk hantar mereka ke sekolah, jadi masa itu mereka kena tunggu nelayan turun di jeti untuk menumpang,” katanya.

Perkampungan terletak di barat daya Tanjung Karang, dipisahkan daripada sekolah rendah terdekat, SJK(C) Yit Khwan oleh Sungai Tengi, sungai berliku yang mengalir ke Selat Melaka.

Lim berkata, jika memandu mengambil masa setengah jam menggunakan jalan utama merentasi sungai berkenaan, namun masih ada penduduk kampung tidak mempunyai kenderaan.

Ng Hock Eng, 59, menemani dua kanak-kanak melalui kawasan belakang restoran makanan laut sehingga mereka selamat sampai di pintu masuk sekolah.

Justeru, kebanyakan ibu bapa memilih menghantar anak mereka ke sekolah menaiki bot, dengan perjalanan mengambil masa kurang 10 minit.

“Dulu ada lebih 60 murid naik bot ke sekolah. Sekarang, kita ada 26 murid sahaja menaiki bot. Ada sekumpulan kecil murid pergi ke sekolah dengan kereta kerana mereka tidak tahu berenang,” kata Lim.

Ng Hock Eng, 59, menjadi “kapten bot sekolah” pada 2006 susulan permohonan bot daripada penduduk kampung kepada kerajaan persekutuan untuk membawa murid menyeberang sungai.

Hock Eng berkata, dia membawa kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun melalui kawasan belakang sebuah restoran makanan laut, menyeberangi jalan dan melalui jambatan kecil sebelum mereka akhirnya tiba di pintu masuk sekolah.

“Tak ada masa berehat. Saya kena berulang alik tiga ke empat kali bawa (murid) balik dari sekolah. Ada kala mereka balik tengah hari, 1 tengah hari dan 2 petang. Mereka semua mahu pulang ke rumah pada waktu berlainan,” katanya.

Sebagai tanda penghargaan, ibu bapa membayar Hock Eng RM20 sebulan. Baru-baru ini, mereka menambah bayaran bulanan kepada RM40 bagi menampung kos bahan bakar dan proses pembaikan bot.

“Minyak sahaja hampir RM150 sebulan. Jika enjin bot rosak, saya kena keluarkan wang sendiri nak baiki yang mana kena belanja antara RM1,000 ke RM2,000,” katanya.

Ng Hock Eng membantu murid keluar daripada bot.

Ng Kok Yaw, yang menghantar tiga anaknya menaiki bot Hock Eng, bersimpati dengannya sambil menyatakan dia memahami kesulitan tugas itu.

“Dia satu-satunya yang sanggup hantar budak-budak itu ke sekolah naik bot. Orang lain tak mahu, bukan mudah.

“Saya ada memohon pembinaan jambatan daripada kerajaan 10 tahun lalu, tetapi sebab kos terlalu tinggi jadi kerajaan tak mampu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.