Kerajaan pastikan EV tersedia untuk semua golongan

Kerajaan pastikan EV tersedia untuk semua golongan

Kerajaan juga akan memastikan prasarana pengecasan EV dipertingkat dan diperluas.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz pada majlis pelancaran Pusat Tesla di Cyberjaya. (Gambar Facebook/Paragon)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan akan memastikan pemilikan kenderaan elektrik (EV) tersedia untuk semua kumpulan berpendapatan menerusi subsidi bersasar dan bantuan kewangan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) Tengku Zafrul Aziz.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan akan turut bertindak memperluas usaha serta meningkatkan prasarana berkaitan pengecasan EV di negara ini.

“Dalam mengambil kira masa depan serta Belanjawan 2024, tumpuan kita jelas kepada keterangkuman yang seiring dengan dengan Rangka Kerja Ekonomi Madani,” katanya pada majlis pelancaran Pusat Tesla di Cyberjaya.

Tengku Zafrul juga menekankan pelaksanaan dasar dan inisiatif itu memberi impak positif ke atas industri automotif tempatan, sekali gus memaparkan komitmen kerajaan dalam membangunkan ekosistem EV yang holistik di Malaysia.

Bilangan kenderaan EV berdaftar meningkat kepada lebih 3,400 unit pada 2022 dan melebihi 7,500 unit setakat September 2023 berbanding purata 300 unit tahun sebelum ini.

“Malah, pelaburan dalam industri EV kita juga mencecah paras memberangsangkan sebanyak RM26.2 bilion bagi tempoh 2018 sehingga Mac lepas,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul juga mengingatkan dasar EV perlu seiringan dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Baharu 2030 (NETR 2030) yang dilancarkan baru-baru ini.

“Ini penting kerana tiada gunanya mempunyai ribuan unit EV di atas jalan sekiranya Malaysia tidak bertindak menghijaukan grid tenaga sewajarnya dengan membangunkan lebih banyak sumber tenaga boleh baharu (TBB),” katanya.

Atas alasan itu, beliau berkata, NETR menyasarkan untuk memacu pelaburan dalam infrastruktur grid menerusi inisiatif bagi pembangunan TBB.

Mengulas kehadiran Tesla di Malaysia, Tengku Zafrul menyifatkan perkembangan tersebut sebagai pendorong yang akan meningkatkan ekosistem EV selain memacu potensi negara sebagai hab pengeluaran EV serantau yang dapat menarik lebih banyak pelaburan selanjutnya dalam sektor tersebut.

Menurutnya, menerusi kehadiran syarikat automotif terkemuka global itu juga, Malaysia bersedia mempercepat peralihan kepada EV dan seterusnya menyaksikan lonjakan kemajuan teknologi, penyelidikan dan pembangunan dalam sektor EV.

“Kita berharap dapat melihat lebih banyak bakat atau pekerja tempatan dapat dipupuk, peningkatan perniagaan tempatan dalam rantaian bekalan EV serta pertambahan inovasi yang akan meletakkan Malaysia di peta dunia dari segi pengangkutan lestari,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.