
Bercakap di Dewan Rakyat, beliau berkata langkah itu berpotensi menjadi satu keperluan pada masa hadapan bagi menyokong pertumbuhan penggunaan EV dan akses pengecasan di seluruh negara.
“Bagi mana-mana kereta CBU yang diimport, kita mahu mereka turut memainkan peranan dalam menyediakan kemudahan ini,” katanya ketika menggulung perbahasan titah diraja bagi kementerian itu.
Johari berkata kerajaan telah menetapkan sasaran 10,000 pengecas EV awam menjelang akhir 2025, merangkumi 1,500 pengecas pantas DC dan 8,500 pengecas AC.
Beliau berkata setakat 31 Dis 2025, sebanyak 5,624 pengecas awam telah dipasang di seluruh negara, bersamaan 56% daripada sasaran tersebut.
Pengecas DC telah melepasi sasaran dengan 1,923 unit dipasang, manakala pengecas AC ketinggalan dengan 3,701 unit, iaitu kira-kira 40% daripada sasaran, katanya.
“Kebolehsediaan pengecas pantas merupakan faktor utama yang mempengaruhi keyakinan pengguna untuk beralih kepada kenderaan elektrik,” katanya.
Johari turut menggalakkan pemilik EV memasang pengecas di rumah, kerana ia lebih menjimatkan kos.
Mengambil contoh Proton e.MAS 7 Premium dengan bateri 60.22kWh, beliau berkata pengecasan di pengecas pantas DC awam menelan kos kira-kira RM90, berbanding RM13 hingga RM34 di rumah, bergantung kepada tarif TNB.