Pemandu cedera ditembak polis dapat ganti rugi lebih RM600,000

Pemandu cedera ditembak polis dapat ganti rugi lebih RM600,000

Isma Izami Jaafar cedera di kepala apabila ditembak anggota polis yang mengejar kenderaannya selepas dia panik kerana tiada lesen memandu.

Pesuruhjaya Kehakiman Noor Nuwena Nurdin berkata tindakan diambil dua anggota polis untuk menahan Isma Izami Jaafar adalah ‘resepi’ untuk bencana.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Taiping mengarahkan kerajaan dan polis membayar ganti rugi berjumlah RM602,500 kepada seorang pekerja ladang kelapa sawit yang ditembak oleh anggota polis dalam kejadian tujuh tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Noor Nuwena Nurdin, dalam penghakimannya mendapati Koperal Zulkifli Sulaiman dan Konstabel Zafran Aiman Zainol melakukan “kecuaian peribadi”, dan berkata mereka gagal menjalankan tanggungjawab dengan cermat semasa menjalankan tugas.

“Ia berkenaan membuat pilihan yang betul.

“Sudah menjadi pengetahuan umum dan dapat dijangka dengan mudah oleh anggota polis terlatih bahawa menembak ke arah orang awam dari sebuah kenderaan yang bergerak dengan keadaan jalan (jalan berliku) adalah resipi untuk bencana,” katanya.

Pada 10 Nov 2016, Isma Izami Jaafar, 29, sedang memandu kereta bersama tiga rakannya dari Semanggol di Kamunting, Perak, ke Alor Pongsu sebelum sebuah kenderaan polis datang dari sebelah kiri jalan mengarahkannya berhenti.

Isma yang memandu tanpa lesen memandu yang sah, panik dan terus memandu, menyebabkan anggota polis itu melepaskan tembakan ke arah keretanya.

Secara keseluruhan, anggota polis melepaskan 22 tembakan dalam insiden itu, yang menyebabkan Isma perlu menjalani pembedahan untuk mengeluarkan serpihan peluru dari otaknya.

Dalam keterangannya, Isma berkata logam asing yang menembusi otaknya, mengakibatkan kerosakan otak kekal dan menyebabkan dia kehilangan fungsi asas, termasuk kebolehan untuk melakukan kiraan mudah.

Nuwena memberikan Isma RM350,000 sebagai ganti rugi umum, dengan mengambil kira kecederaan dialaminya. Mahkamah juga memerintahkan RM240,000 sebagai kerugian pendapatan dan RM12,500 sebagai ganti rugi khas.

Kerajaan telah mengemukakan rayuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.