
Ketua Polis Pulau Pinang, Khaw Kok Chin, berkata suspek berusia 34 tahun dari Lembah Klang ditahan ketika sibuk memindahkan dadah terbabit dari sebuah kereta ke kereta dipandunya.
Menurutnya, suspek dipercayai menjadi “transporter” dadah yang diseludup dari Thailand untuk diedarkan ke Pulau Pinang dan Selangor.
“Kita menahan suspek ketika dia sedang memunggah dadah dari kereta Honda HRV ke Perodua Bezza yang dipandunya. Suspek cuba lari ketika serbuan, namun gagal.
“Siasatan awal mendapati, kedua-dua kereta itu adalah kenderaan sewa. Semua dadah yang diletakkan dalam enam guni itu dibawa dari Thailand menggunakan kereta Honda HRV berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati, semua guni terbabit diisi 150 bungkusan teh Cina yang mengandungi 157.185kg syabu bernilai RM5.19 juta,” katanya pada sidang media IPK Pulau Pinang, menurut Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Khaw berkata suspek dipercayai menerima upah RM5,000 untuk setiap perjalanan penghantaran dadah tersebut.
Katanya, polis percaya suspek tidak bergerak bersendirian dan berusaha mengesan rakannya yang masih bebas.
“Suspek mempunyai satu rekod jenayah namun ujian dadahnya negatif. Dia dipercayai beberapa kali melakukan jenayah ini sebelum ditahan.
“Dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 926,000 penagih sekiranya terlepas ke pasaran. Suspek yang sudah berkahwin itu direman tujuh hari hingga 10 Okt untuk siasatan lanjut,” katanya memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952