Laksana moratorium permohonan tindakan DNAA, gesa Bersih

Laksana moratorium permohonan tindakan DNAA, gesa Bersih

Bersih mendesak Anwar Ibrahim bertindak bagi mempertahankan kedaulatan undang-undang.

Bersih menyasarkan mengumpul 100,000 tandatangan menerusi petisyen dilancarkan hari ini.
PETALING JAYA:
Kumpulan reformasi pilihan raya, Bersih menuntut moratorium untuk permohonan bagi melepas tanpa membebaskan (DNAA) atau pembebasan sepenuhnya bagi semua kes profil tinggi mahkamah membabitkan ahli politik.

Pengerusinya Thomas Fann berkata perkara itu harus digantung terlebih dahulu sehingga pemisahan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya dilaksanakan seperti dituntut pelbagai pihak susulan keputusan DNAA Presiden Umno Zahid Hamidi, bulan lalu.

Perkara itu terkandung dalam empat tuntutan menerusi petisyen secara dalam talian dilancarkan hari ini, mendesak tindakan segera Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertindak bagi mempertahankan kedaulatan undang-undang dan kestabilan politik di negara ini.

NGO itu turut mendesak supaya pemisahan kuasa antara peguam dan pendakwa raya dimuktamadkan menjelang 2024.

“Ketiga mendakwa semula ahli politik diberikan DNAA atas kesalahan rasuah, biar mahkamah tentukan sama ada mereka bersalah atau sebaliknya berdasarkan bukti dibentangkan,” katanya pada sidang media hari ini.

Fann berkata pihaknya juga menggesa perdana menteri dan peguam negara tidak menarik semula atau campur tangan kes berprofil tinggi seperti kes 1MDB serta kes pertuduhan rasuah Sistem Visa Luar Negara (VLN) membabitkan Zahid.

Menurutnya, mereka menyasarkan untuk mendapatkan 100,000 tandatangan dalam tempoh sebulan menerusi petisyen berkenaan.

Beliau berkata, Anwar perlu melaksanakan tadbir urus baik dan tidak membenarkan mana-mana ahli politik yang didakwa dengan rasuah diberikan DNAA seperti Zahid.

“Peguam Negara yang baru (Ahmad Terrirudin Mohd Salleh) juga sepatutnya membenarkan badan kehakiman menguruskan kes ahli politik tanpa menggunakan budi bicaranya di bawah perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.