
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan berkata pelantikan itu melibatkan 1,226 calon simpanan pegawai perubatan, 216 pegawai pergigian dan 470 pegawai farmasi.
“Pelantikan ini adalah selaras dengan baki kekosongan sedia ada dan kelulusan perjawatan tetap oleh agensi pusat pada 2023,” kata kenyataan itu.
KKM berkata urusan tawaran pelantikan tetap dan penerimaan tawaran oleh calon simpanan sedang dilaksanakan menerusi Sistem Tawaran Pelantikan SPA (MySTP SPA) dalam tempoh 21 hari bermula 2 Oktober.
Menurutnya, semua calon diberi ruang untuk memilih sendiri penempatan secara dalam talian menerusi sistem ‘e-placement’ iaitu sistem e-housemen untuk pegawai perubatan, sistem e-dentist untuk pegawai pergigian dan sistem e-pharmacist untuk pegawai farmasi.
Bagaimanapun, KKM memaklumkan jumlah kekosongan jawatan di Lembah Klang dan wilayah tertentu sangat terhad berdasarkan kepada pengisian semasa.
“Seperti yang dijelaskan dalam sistem ‘e-placement’, pemilihan penempatan ini adalah diwajibkan bagi tujuan pengesahan melapor diri bertugas. Calon dikehendaki mengakses sistem ‘e-placement’ dan membuat pilihan penempatan pada tempoh yang ditetapkan.
“Tawaran pelantikan tetap akan terbatal sekiranya tiada pemilihan penempatan dibuat dalam sistem e-placement,” kata kenyataan itu.
Tarikh pilihan penempatan bagi pegawai perubatan ditetapkan pada 9 hingga 14 Oktober, pegawai pergigian (9 – 11 Oktober) dan pegawai farmasi (16 – 19 Oktober).
“Calon akan menerima pemakluman penempatan di peringkat fasiliti Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mulai 14 November, sementara tarikh lantikan tetap calon berkuat kuasa pada tarikh lapor diri iaitu 18 Disember,” kata KKM.