
Timbalan Presiden Persatuan Pegawai Rendah Polis (PPRPD), Abd Rashid Ali, 58, berkata, kadar gaji semasa anggota pasukan keselamatan itu perlu selari dengan cabaran kehidupan masa kini.
“Skim perkhidmatan polis wajar dijadikan sebagai perkhidmatan khas supaya kadar gaji dan pencen tidak mengikut formula kiraan penjawat awam yang biasa
“Ini kerana pasukan penguat kuasa merupakan satu perkhidmatan yang melibatkan nyawa,” katanya, kepada FMT.

Sehubungan itu, PPRPD katanya menyambut baik saranan Ketua Polis Negara Razarudin Husain agar Jabatan Perkhidmatan Awam menyelaraskan skim gaji permulaan konstabel (YA1) pada kadar gaji minimum RM1,500 sebulan.
Tangga gaji permulaan anggota polis berpangkat konstabel sekarang adalah di bawah kadar gaji minimum iaitu RM1,441.
“Kalau ikut peredaran semasa perlu RM1,800, tetapi ikutkan ia masih tidak mencukupi dengan kos sara hidup ketika ini,” katanya.
Beliau turut menyarankan kenaikan sama turut diberikan kepada skim perkhidmatan bagi jawatan konstabel Orang Asli yang kini di paras RM1,334.00 dan skim perkhidmatan jawatan konstabel sokongan, yang kini adalah RM1,220.00.
Bekas pengerusi PPRPD Negeri Sembilan Rosli Mohd Ali, 56, pula berkata, pertimbangan itu wajar diberikan kerana anggota bertugas tidak mengira masa dan waktu dengan merisikokan nyawa mereka.
“Mereka bekerja tidak mengira waktu, polis tugasan 24 jam. Bila-bila masa boleh dipanggil untuk bekerja. Tugas mereka berisiko tinggi, melibatkan nyawa, tetapi gaji tidak ada tambahan.
“Elaun Cola pula bergantung kepada tempat, sesetengah tempat kos sara hidup sangat tinggi, ada tempat di bandar kos sewa rumah lebih tinggi, dan mereka terpaksa tambah duit daripada pendapatan untuk sewa rumah kerana berek tidak mencukupi.
“Ini semua mengganggu perjalanan kehidupan,” katanya, yang pernah berkhidmat selama lebih 30 tahun dalam pasukan sebelum bersara pada Dis 2021.