Belanjawan 2024 tak prihatin mahasiswa M40, kata Lau

Belanjawan 2024 tak prihatin mahasiswa M40, kata Lau

Presiden Gerakan Dominic Lau berkata mahasiswa dalam semua peringkat M40 menuntut diberikan pinjaman penuh PTPTN.

Ketika ini, kadar pembiayaan pinjaman PTPTN ditetapkan sebanyak 100% bagi kumpulan M40 untuk kategori M1 dan 75% bagi kategori M2 hingga M4.
PETALING JAYA:
Belanjawan 2024 yang dibentangkan Jumaat lalu tidak prihatin dan sensitif terhadap permintaan kumpulan mahasiswa M40 yang mahu kadar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dinaikkan kepada 100%.

Presiden Gerakan Dominic Lau berkata sekiranya enggan memberikan pinjaman penuh kepada semua kumpulan, kerajaan seharusnya memberi kelonggaran kepada pelajar M40 yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama dan pasca siswazah.

“Di mana perginya insentif pro-rakyat seperti kadar pinjaman PTPTN 100% untuk komuniti M40?

“Amat menyedihkan bila tiada sebarang pendekatan ditawarkan kepada pelajar dari komuniti M40, yang juga berkemungkinan turut merasai kesan buruk daripada peluang pekerjaan yang terhad dan ringgit lemah,” katanya dalam kenyataan.

Sehari sebelum pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) memohon kerajaan mempertimbangkan kenaikan pembiayaan itu untuk semua kategori M40.

Ketika ini, kadar pembiayaan pinjaman PTPTN ditetapkan sebanyak 100% bagi kumpulan M40 untuk kategori M1 dan 75% bagi kategori M2 hingga M4.

Sementara itu, Lau memuji usaha kerajaan mewujudkan peluang untuk wanita kembali bekerja, dan ingin menceburi bidang keusahawanan, namun tiada perhatian sewajarnya untuk wanita muda yang sedang bekerja.

“Pengumuman perdana menteri tidak menggambarkan sebarang pelan tindakan langsung dalam meningkatkan tahap sosioekonomi, kepakaran dan daya saing kepada wanita yang sedang bekerja.

“Dorongan ini tidak memerlukan peruntukan tambahan, ia boleh dilakukan dalam bentuk geran pendidikan tinggi atau pinjaman pendidikan penuh untuk meningkatkan kebolehan-pasaran mereka dalam kerjaya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.