Hormati keputusan DAP pilih saya sebagai KM, Chow beritahu pengkritik

Hormati keputusan DAP pilih saya sebagai KM, Chow beritahu pengkritik

Chow Kon Yeow dilaporkan berkata ada orang "dalam dan luar DAP" merancang "mengalahkan beliau".

Chow Kon Yeow menggesa semua ahli DAP menyokongnya bagi membolehkan beliau menjalankan tugas.
GEORGE TOWN:
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menggesa pengkritik menghormati keputusan DAP memilihnya menerajui pentadbiran negeri itu, susulan pengakuan beliau wujud usaha menyingkirkannya.

Beliau menjelaskan kenyataannya dalam satu majlis malam tadi dibuat susulan wujud isu baharu dibangkitkan membabitkan penjualan tanah kepada sebuah syarikat swasta oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Apabila ditanya apa kaitan isu itu dengan kedudukannya sebagai ketua menteri, beliau berkata: “Lagipun saya adalah ketua menteri. Oleh itu, saya bertanggungjawab untuk semua isu.”

Beliau berkata keputusan mengekalkannya dibuat oleh parti dan beliau harus mendapat sokongan penuh daripada semua ahli.

Menurutnya, sokongan itu membolehkannya menumpukan pada pelaksanaan matlamat ditetapkan di bawah Pelan Tempatan Pulau Pinang 2030.

Terdahulu, Sin Chew Daily melaporkan Chow berkata ada orang “dalam dan luar DAP” merancang “mengalahkan beliau”.

Dalam perkembangan berasingan, Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata beliau akan memaklumkan kepada kepimpinan parti mengenai usaha untuk “mengalahkan Chow”, menurut China Press.

Chow telah menjadi perhatian susulan penjualan tanah di Batu Kawan oleh PDC kepada sebuah syarikat swasta, yang didakwa dijual kurang daripada kadar pasaran, seperti didedahkan oleh Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang.

Beliau didesak membatalkan perjanjian itu dan Chow berkata Lembaga Pengarah PDC akan bermesyuarat untuk membincangkan perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.