
Dalam ucapan ringkas, Mahathir yang lantang menyokong perjuangan Palestin berkata, Israel harus dikategorikan sebagai kumpulan pengganas disebabkan “serangannya terhadap sebuah hospital di Gaza”.
“Mereka ini (Israel) tergolong sebagai ‘pengganas’ kerana melanggar undang-undang antarabangsa, serang hospital,” katanya.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, jumlah kematian akibat pengeboman Hospital Al-Ahli Baptist itu lebih 400. Kedua-dua pihak menafikan mereka bertanggungjawab atas serangan tersebut.
Mahathir, yang juga pengkritik lantang Israel, menyelar Amerika Syarikat, Britain, dan Eropah kerana terus menyokong rejim Tel Aviv itu.
“Apabila Israel lakukan jenayah yg besar, mereka sokong … sebab itu kita tak boleh terima sama sekali AS, Britain, Eropah (sebagai) pejuang kemanusiaan, sebab sifat mereka tak seperti yang bertamadun.
Dalam pada itu, Khairy berkata, memorandum bantahan yang diserahkan kepada kedutaan itu menuntut Israel menghentikan pendudukan haramnya di Palestin dan mengiktiraf negara bangsa Palestin tanpa syarat
Beliau juga mahu melihat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu diheret ke mahkamah jenayah antarabangsa untuk dibicarakan sebagai pengganas.
Kira-kira 500 orang berarak dari masjid Tabung Haji di sepanjang Jalan Tun Razak ke Kedutaan AS di seberang jalan selepas solat Jumaat sekitar 2 petang.
Protes itu turut disertai beberapa pertubuhan dan parti politik, termasuk Abim, Majlis Belia Malaysia, dan Pejuang.
Ahli politik lain yang menyertai protes itu termasuk anak Mahathir, Mukhriz dan Rafique Rashid Ali daripada Pejuang dan Ketua Amanah Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah.
Konflik antara Israel dan Hamas, yang tercetus sejak 7 Okt, dilaporkan telah mengorbankan kira-kira 3,000 orang di kedua-dua pihak.
Menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya sejuta penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka.
Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 400,000 kini ditempatkan di sekolah dan bangunan PBB yang kebanyakannya tidak lengkap sebagai tempat perlindungan kecemasan.