Tiada bayaran EFT jika Kelantan ubah status hutan simpan, Nik Nazmi beri amaran

Tiada bayaran EFT jika Kelantan ubah status hutan simpan, Nik Nazmi beri amaran

Menteri alam sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad insentif kewangan itu adalah bagi melindungi dan memulihara hutan.

Nik Nazmi Nik Ahmad berkata cadangan pengubahsuaian Pemuliharaan dan Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar di Kelantan menjejaskan usaha pemuliharaan kepelbagaian biologi.
PUTRAJAYA:
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bercadang menghentikan pembayaran Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT) kepada Kelantan sekiranya cadangan pengubahsuaian Pemuliharaan dan Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di negeri itu diteruskan, kata Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata hal ini kerana ia tidak selari dengan prinsip pelaksanaan EFT, iaitu insentif kewangan tambahan daripada kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri yang diperkenalkan pada 2019 bagi melindungi dan memulihara kawasan penting untuk kepelbagaian biologi termasuk KSAS.

“Setakat ini, lebih RM29 juta diperuntukkan kepada Kelantan dari 2019 hingga 2023. Oleh itu, Kelantan sepatutnya memanfaatkan peruntukan EFT yang disediakan dengan melaksanakan lebih banyak inisiatif bagi meningkatkan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kepelbagaian biologi,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi berkata cadangan pengubahsuaian KSAS di Kelantan juga akan menjejaskan usaha pemuliharaan kepelbagaian biologi dan tidak selari dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030 (DKBK 2022-2030) yang baru dilancarkan pada 24 Okt lepas.

Di bawah DKBK 2022-2030, digariskan keperluan untuk mengukuhkan perlindungan kawasan penting kepelbagaian biologi sebagai KSAS dalam pelan pembangunan di peringkat negeri dan tempatan.

Ia turut menjejaskan sasaran negara untuk meningkatkan peratusan kawasan perlindungan bagi memenuhi obligasi di bawah Konvensyen Kepelbagaian Biologi.

“Saya berharap agar kerajaan Kelantan menimbang semula cadangan pengubahan Rancangan Pemajuan melibatkan KSAS dan bersama-sama dengan kerajaan persekutuan melalui NRECC untuk mengukuhkan pengurusan kepelbagaian biologi negara,” katanya.

Semalam, Nik Nazmi dilaporkan berkata pengubahsuaian KSAS di Kelantan akan memberikan implikasi, antaranya menjejaskan dasar kerajaan dalam mencapai 50% keluasan tanah berhutan di Semenanjung selaras dengan polisi Rancangan Fizikal Negara.

Kerajaan Kelantan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kali ke-22/2020 pada 21 Okt 2020 memutuskan supaya Kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK), kecuali kawasan punca air atau tadahan air, tidak lagi diklasifikasikan sebagai KSAS.

Pelaksanaan keputusan itu masih dalam peringkat draf Pengubahan Rancangan Pemajuan di Kelantan, iaitu Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Kelantan sedang melaksanakan Program Publisiti dan Penyertaan Awam mulai 11 Okt 2023 hingga 11 Nov 2023.

KSAS merujuk kepada kawasan khas yang sangat sensitif kepada sebarang aktiviti atau pembangunan dan perlu dipulihara untuk menilai warisannya, memelihara nilai sokongan hidupnya dan meminimumkan risiko bencana akibat penukaran guna tanah.

Menerusi Belanjawan 2024, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan EFT akan ditingkatkan kepada RM200 juta pada 2024 berbanding RM150 juta pada 2023. Sebelum ini, EFT ialah RM70 juta setahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.