MYAirline runding dengan 2 pelabur berpotensi

MYAirline runding dengan 2 pelabur berpotensi

Syarikat penerbangan itu sedang berusaha memuktamadkan pakej permodalan semula untuk memulihkan operasinya.

MYAirline Sdn Bhd telah menerima lebih 15 cadangan daripada pelabur berpotensi, dengan dua daripadanya dalam peringkat rundingan lanjutan. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
MYAirline Sdn Bhd hari ini berkata ia telah menerima lebih 15 cadangan daripada pelabur berpotensi, dengan dua daripadanya dalam peringkat rundingan lanjutan.

Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini berkata ia berusaha sepanjang masa untuk memuktamadkan pakej permodalan semula bagi memulihkan operasinya.

“Ini juga akan memudahkan pembayaran balik wang kepada penumpang yang terjejas serta pembayaran gaji dan pembayaran yang perlu dibayar kepada pihak berkuasa,” katanya menurut laporan Bernama.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu juga mengulangi kenyataan bahawa ia tidak menamatkan atau mengarahkan mana-mana kakitangannya mengambil cuti tanpa gaji sejak 12 Oktober lepas sehingga sekarang.

“Kami memahami kesukaran yang dihadapi oleh kakitangan dan memberi jaminan kepada mereka bahawa MyAirline melakukan segala yang mampu untuk menangani masalah mereka. Kakitangan diminta untuk bekerjasama dengan syarikat dalam masa yang sukar ini kerana MyAirline melakukan yang terbaik untuk mereka,” katanya.

MYAirline menggantung operasinya pada 12 Oktober 2023 kerana masalah kewangan.

Syarikat penerbangan itu berkata selain menubuhkan “Tabung Ihsan” secara dalaman untuk mengutip derma untuk disalurkan kepada pekerja yang paling terjejas teruk, MYAirline juga telah membuat perjanjian dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk pekerjanya memohon Skim Insurans Pekerjaan (EIS) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Mengenai bayaran balik untuk penumpang terjejas, MYAirline berkata ia telah menerima lebih 30,000 panggilan dan emel yang sedang ditangani oleh pasukan khidmat pelanggannya.

Syarikat penerbangan itu berkata ini bertujuan untuk membayar semua bayaran balik sebaik menerima pakej permodalan semula daripada pelaburnya.

“Kami akan memberi perkembangan terkini kepada penumpang yang dihargai dan pihak berkepentingan berkaitan mengenai pembayaran tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.