
Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, perkara itu dimaklumkan pada bulan lalu menerusi Pejabat Perdana Menteri (PMO).
“PMO sebelum ini sudah memberikan penangguhan hingga 31 Oktober 2023. Sekarang Oktober sudah habis, masuk November dan tiada lagi penangguhan. Pemaju kena selesaikan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri kerana beliau bersetuju bahawa tidak ada lagi ‘extension’ (lanjutan),” katanya menurut Berita Harian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Deepavali kepada masyarakat India di Parlimen Titiwangsa.
Februari lalu, penduduk Kampung Sungai Baru menyerahkan memorandum supaya kerajaan membatalkan penangguhan projek pembangunan kawasan itu seperti diumumkan perdana menteri.
Majoriti penduduk mahu pembangunan semula kawasan itu yang tertangguh sejak enam tahun lalu diteruskan.
Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak 2018.
Sesetengah penduduk terutama penghuni rumah teres tidak bersetuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWKL).