
Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris berkata, mereka boleh memilih bertanding bebas atau mewakili parti dalam Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.
“Kalau dia hebat, dia tak suka parti, dia letak jawatan, kosongkan kerusi dan bertanding mewakili parti yang dia sokong sekarang, kita lawan lagi,” katanya kepada FMT.
Razali yang “sangat kecewa dan marah” dengan tindakan empat wakil rakyat itu, menyifatkan mereka “khianat dan tali barut” kerana menyokong musuh parti.
Pada 7 Nov lalu, Ahli Parlimen Gua Musang dan Adun Nenggiri, Azizi Abu Naim mengumumkan menyokong Anwar Ibrahim bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasannya terbela dan mendapat pelbagai manfaat, termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur.
Keesokannya, Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik, juga dari Kelantan mengambil tindakan sama. Mereka mengikut jejak Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Semua wakil rakyat Perikatan Nasional itu memberi alasan sama, iaitu demi pembangunan dan kebajikan penduduk di kawasan diwakili mereka.
Susulan itu, Bersatu menggantung keahlian Iskandar dan Suhaili selama empat serta enam tahun.