
“Kurangkan bercakap dan ambil lebih banyak tindakan,” kata Pengerusi Dewan Perniagaan Ireland Malaysia Donal Crotty.
“Tetapkan tarikh pelaksanaan program, letakkan angka pada perubahan cukai seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2024.”
Crotty berkata demikian susulan laporan penyelidikan pasaran mengenai kekecewaan berhubung permulaan yang perlahan bagi projek penting dalam agenda “Ekonomi Madani” kerajaan Anwar.
Kadar pelaksanaan projek ekonomi utama yang lembap menunjukkan bahawa rangka kerja “Ekonomi Madani” kebanyakannya hanya di atas kertas, menurut ahli ekonomi Carmelo Ferlito daripada Pusat Pendidikan Pasaran.
Ferlito berkata, kemajuan yang perlahan dan kelulusan projek yang lembap boleh dikaitkan dengan Jemaah Menteri gabungan yang mempunyai “visi yang berbeza dan kadangkala bercanggah”. Pada masa yang sama, katanya, mungkin juga terdapat masalah sumber.
Beliau berkata, kerajaan, pusat penyelidikan dan komuniti perniagaan harus sedar bahawa untuk perubahan dilaksanakan dalam ekonomi negara, perlu lebih daripada pelan induk atau sebarang rancangan kerajaan.
“Sikap keusahawanan di lapangan yang akan mengubah landskap ekonomi. Ekonomi tidak boleh berubah semata-mata dengan niat,” katanya.
Crotty berkata, kemajuan perlahan dalam pelaksanaan projek mungkin disebabkan oleh enam PRN yang diadakan pada Ogos.
Katanya, pelabur memerlukan jaminan kerajaan stabil, konsistensi dalam dasar dan bukti dalam pelaksanaan.
“Sama sahaja dengan perniagaan. Pelanggan boleh tertarik dengan pemasaran, tetapi buktinya pada penyampaian, kualiti dan prestasi produk dan perkhidmatan,” katanya.
Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) William Ng sebaliknya berkata, kadar perlahan itu sendiri bukan semestinya suatu petanda buruk, terutamanya jika ia bermakna tadbir urus lebih baik dan rasuah berkurangan.
“Saya rasa ini isu permulaan, dan jika projek diteliti dengan lebih baik dan pandangan pihak berkepentingan yang terjejas diperoleh, ini adalah untuk kebaikan negara,” katanya.
“Bukannya dikatakan pada masa lalu, arahan pemimpin politik dipatuhi bulat-bulat, tetapi, kita dapat lihat penjawat awam kini lebih berhati-hati untuk memastikan tadbir urus yang baik, yang kadang-kadang dianggap lembap.”