Malaysia juara keseluruhan World Robot Olympiad 2023

Malaysia juara keseluruhan World Robot Olympiad 2023

Pasukan negara meraih empat emas dan dua perak dalam pertandingan disertai 1,200 peserta dari 80 negara.

Pasukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjaya menjadi juara keseluruhan dalam World Robot Olympiad 2023, di Panama City, Panama. (Gambar Kementerian Pendidikan Malaysia)
PETALING JAYA:
Pasukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjaya muncul juara keseluruhan pertandingan antarabangsa World Robot Olympiad (WRO) 2023 yang berlangsung di Panama City, Panama, bermula 7 Nov hingga semalam.

KPM dalam kenyataan memaklumkan kejayaan itu merupakan kejuaraan ke-11 daripada 19 kali penyertaan Malaysia dalam WRO dan kejuaraan itu diperoleh setelah pasukan negara berjaya meraih empat pingat emas dan dua pingat perak daripada keseluruhan tujuh kategori yang dipertandingkan.

Menurut KPM, pasukan Malaysia diketuai Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Shafruddin Ali Hussin, diwakili oleh 49 peserta dalam kalangan murid sekolah rendah dan menengah serta pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG).

“Malaysia turut menghantar pegawai KPM yang bertugas sebagai pengadil kejohanan dalam pertandingan yang disertai oleh 1,200 peserta dari 80 buah negara itu,” kata kenyataan itu menurut Bernama.

Sementara itu, Shafruddin dalam kenyataan sama, berkata beliau berbangga dengan pencapaian itu yang disifatkannya terbaik sepanjang Malaysia menyertai WRO.

“Kerjasama berpasukan yang baik, komitmen dan sokongan semua pihak termasuk daripada Sasbadi Holdings Berhad yang merupakan rakan strategik KPM adalah ramuan penting pasukan negara untuk mengatasi saingan sengit daripada pasukan lain,” katanya.

Sementara itu, Shafruddin berkata KPM sentiasa berusaha meningkatkan minat murid dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) termasuk menerusi program robotik yang menarik dan menghiburkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.