
Pensyarah hal ehwal antarabangsa dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Mohd Mizan Aslam berkata ini kerana pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19 dan keberkesanan Belanjawan 2024 turut bergantung pelaburan yang boleh berpotensi diraih pada sidang berkenaan.
Menurutnya, Anwar perlu hadir ke APEC untuk meneruskan momentum pertumbuhan ekonomi negara, walaupun ada desakan Malaysia memboikotnya kerana diadakan di AS sebagai sekutu Israel susulan situasi di Palestin.
“Kita harus lihat balik situasi dengan menyokong perdana menteri dalam usaha pemulihan ekonomi, pada masa sama menggunakan platform termasuk APEC untuk menyampaikan pendirian dengan cara berhemah dan tepat.
“Dengan itu negara kita akan lebih maju dan masalah konflik Palestin dapat diselesaikan” katanya kepada FMT.
Selasa lalu, Anwar yang juga menteri kewangan mengesahkan akan hadir pada APEC walaupun ada desakan supaya Malaysia memboikotnya.
Katanya beliau perlu menerima jemputan Presiden AS Joe Biden ke sidang bermula 11 hingga 17 Nov untuk menjaga hubungan diplomatik, keamanan dan, ekonomi.
APEC ialah forum ekonomi serantau ditubuhkan pada 1989 untuk memanfaatkan saling bergantungan yang semakin meningkat di Asia Pasifik.
Sementara itu, pakar geostrategis dari Akademi Nusantara Azmi Hassan berkata kehadiran Anwar ke APEC memberi ruang kepadanya menyuarakan isu Palestin ke peringkat lebih tinggi.
“Pasti Presiden Joe Biden akan turut serta dan sudah pasti Anwar boleh menyatakan pendirian Malaysia kepada beliau secara bersemuka, bukan lagi melalui media,” katanya.
Bagi Felo Penyelidik Asia Middle East Center for Research & Dialogue (AMEC) Ferooze Ali, Anwar harus memanfaatkan peluang itu untuk menjelaskan suaranya dalam isu Palestin yang sering dibandingkan pemimpin terdahulu.
“Dasar beliau kerap dibandingkan dengan pemimpin terdahulu seperti Najib Razak dan Dr Mahathir Mohamad,” katanya.