Panglima BN mahu ‘birukan’ semula Kemaman

Panglima BN mahu ‘birukan’ semula Kemaman

Sebelum ini, BN menguasai parlimen itu menerusi Ahmad Shabery Cheek namun hilang penguasaan itu kepada PAS sejak PRU14 hingga kini.

Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor diiringi pemimpin BN ke proses penamaan calon PRK Kemaman. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Beralih dari medan perang ke gelanggang pilihan raya, calon Barisan Nasional (BN) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berazam mengalirkan semula ‘warna biru’ di Parlimen Kemaman.

Sebelum ini, BN menguasai parlimen itu menerusi Ahmad Shabery Cheek namun hilang penguasaan itu kepada PAS sejak PRU14 hingga kini.

Affandi, bekas panglima tentera berkata beliau akan menggunakan pengalamannya untuk mengatur strategi terbaik bagi menabur bakti kepada rakyat di kawasan itu.

“Setiap langkah yang saya ambil hari ini adalah untuk memberi balik apa yang saya peroleh dan dapat daripada Kemaman selama ini dan saya masuk tadi ibaratkan satu medan untuk saya perang balik dalam bentuk yang lain.

“Dengan medan yang baik ini kita mengurus dengan baik, tidak mustahil kita akan alirkan warna biru di Kemaman,” katanya menurut Bernama selepas penamaan calon PRK Kemaman.

Membesar di Kemaman yang menjadi kampung halamannya, Affandi berkata beliau membuat keputusan bertanding untuk menabur semula bakti kepada penduduk di Parlimen berkenaan.

PRK Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Afandi dengan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dari PAS.

SPR menetapkan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian.

PRK Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada PRU15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.