
Dalam kenyataan, firma undang-undang Shafee & Co berkata, peguam negara memfailkan notis penghentian rayuan di Mahkamah Rayuan.
“Justeru, rayuan tersebut di Mahkamah Rayuan dianggap ditolak menurut Peraturan 73 Kaedah-kaedah Mahkamah Rayuan 1994,” katanya.
Pada 13 Sept 2018, Shafee dibicarakan atas tuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram melalui cek dikeluarkan bekas perdana menteri, Najib Razak, yang diremit ke akaun CIMB Bank Bhd.
Beliau didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 Sept 2013, dan RM5.2 juta pada 17 Feb 2014.
Shafee turut dituduh menghantar penyata cukai tidak tepat bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014, yang mengetepikan pendapatan RM9.5 juta daripada penyata cukainya.
Bagaimanapun, pada 28 Okt tahun lalu, Shafee dibebaskan Mahkamah Tinggi daripada semua pertuduhan tanpa perlu membela diri selepas Hakim Jamil Hussin berkata pihak pendakwaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap peguam itu.
Jamil memutuskan tiada testimoni oleh saksi pendakwaan bagi menunjukkan tertuduh melakukan kesalahan predikat dalam penerimaan cek tersebut.
Sebaliknya, hakim memerintahkan pihak pendakwaan terikat dengan testimoni oleh saksinya sendiri.
“Testimoni (pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Fariq Jabar) menunjukkan tiada aktiviti haram berlaku ketika penerima menerima dua cek itu, dan wang berkenaan bukan berasal (dari apa jua) aktiviti haram,” katanya.
Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 1 Nov tahun lalu.