Polis buru suspek ke-3 lari pemeriksaan

Polis buru suspek ke-3 lari pemeriksaan

Polis sedang menyiasat hubungan dua suspek ditahan dengan suspek ketiga, sama ada mereka rakan jenayah atau sebaliknya.

Tangkap layar video tular menunjukkan Perodua Bezza dikejar peronda polis dari Petaling Jaya ke Cyberjaya.
KUALA LUMPUR:
Polis sedang mengesan seorang lagi suspek dipercayai menaiki Perodua Bezza yang melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Jalan Utara menghala Cyberjaya dua hari lepas.

Ketua Polis Petaling Jaya, Mohd Fakhrudin Abd Hamid, berkata setakat semalam, hanya dua suspek yang menaiki kereta itu, iaitu lelaki berusia 27 tahun dan wanita 21 tahun ditahan di Bulatan Taman Tasik Cyberjaya, Sepang.

Beliau berkata polis sedang menyiasat hubungan dua suspek ditahan itu dengan suspek ketiga, sama ada mereka rakan jenayah atau sebaliknya.

“Selain itu, siasatan kami juga mendapati suspek lelaki 27 tahun itu disahkan positif ganja dan disiasat bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata anggota unit rondaan bermotosikal yang cedera dirempuh suspek ketika cuba menahan mereka di Jalan PJS6/1 Sungei Way, cedera di bahagian muka dan tangan.

“Anggota polis berkenaan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya dan dibenarkan keluar pada hari sama.”

Isnin lalu, polis menahan dua individu selepas lebih 20 kereta peronda polis mengejar mereka kira-kira 50km kerana melarikan diri daripada pemeriksaan di Jalan Utara menuju Cyberjaya.

Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui sebilah pisau, gunting, sarung tangan, topi keledar, sekeping kad pengenalan individu lain dan empat kad debit dalam kereta itu.

Hasil semakan mendapati pemandu lelaki itu mempunyai 11 rekod lampau, iaitu enam kesalahan jenayah, empat kesalahan dadah dan satu rekod dikehendaki bersabit kesalahan samun berkumpulan menggunakan senjata, manakala wanita terbabit tiada rekod jenayah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.