Video CCTV tular papar tahanan lolos disiasat Jabatan Penjara

Video CCTV tular papar tahanan lolos disiasat Jabatan Penjara

Rakaman itu dikatakan terkait warga Pakistan yang berdepan kes gangguan seksual kanak-kanak dan kesalahan imigresen.

prisoner escape during a transfer from Sungai Buloh Prison
Tangkap layar skrin didakwa menunjukkan tahanan reman melarikan diri daripada kawalan polis di pekarangan penjara Sungai Buloh. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kesahihan dan sumber asal rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular memaparkan seorang tahanan reman dipercayai lolos daripada kawalan polis di pekarangan Penjara Sungai Buloh sedang disiasat Jabatan Penjara.

Jabatan itu memaklumkan aspek keselamatan institusi pemulihan berkenaan sentiasa menjadi keutamaan.

“Sebarang kelemahan dikenal pasti akan ditambah baik serta tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati cuai atau melanggar peraturan ditetapkan,” katanya menurut Bernama.

Menurutnya, orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan serta ketenteraman awam.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi kira-kira 30 saat memaparkan sebuah lori diiringi Unit Kereta Peronda (MPV) polis yang dipercayai membawa beberapa tahanan reman ke Penjara Sungai Buloh.

Dalam video itu, seorang lelaki kelihatan melarikan diri sebaik saja turun dari lori berkenaan sebelum dikejar oleh beberapa anggota polis.

Sebelum ini, media sebelum ini melaporkan pihak polis giat mengesan seorang tahanan reman warga Pakistan, Muhammad Hassan, 24, yang melarikan diri di Padang Kawad Penjara Sungai Buloh pada 6 petang Khamis lalu, selepas menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Shah Alam.

Suspek yang berdepan pertuduhan berkaitan kes gangguan seksual terhadap kanak-kanak serta kesalahan imigresen itu, kali terakhir dilihat memakai kemeja-T berwarna oren dan seluar panjang hitam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Muhendran Chandra menerusi talian 010-4304383 atau Hotline Bilik Operasi Search and Capture (SAC) 03-61401096.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.