
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata siasatan itu membabitkan pegawai dan anggota yang bertugas ketika kejadian.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat terhadap mana-mana pegawai atau anggota terbabit.
“Tiada penahanan dibuat, cuma mereka dihadkan tugas kepada tugas yang tidak aktif kerana siasatan masih lagi berjalan dan keterangan masih lagi dibuat untuk mengesahkan berlaku atau tidak sebarang kelemahan atau kecuaian sewaktu menjalankan tugas,” katanya pada sidang media.
Shazeli berkata, usaha mengesan tahanan terbabit masih diteruskan dengan kekuatan operasi pencarian turut dipertingkatkan menerusi kerjasama beberapa agensi.
Beliau berkata, polis percaya lelaki itu masih berada di sekitar Sungai Buloh berdasarkan maklumat diterima setakat ini.
“Usaha pengesanan masih lagi diteruskan. Namun, kita mempercayai maklumat yang diterima bahawa banduan tersebut masih ada lagi di sekitar kawasan Sungai Buloh,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan polis memburu seorang lelaki Pakistan berusia 24 tahun yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh ketika dalam tahanan reman bagi membantu siasatan beberapa kesalahan, termasuk berkait kes seksual terhadap kanak-kanak.
Muhammad Hassan, 24, kali terakhir dilihat berpakaian kemeja-T berwarna jingga dan seluar panjang hitam.
Polis menasihati orang awam supaya lebih berhati-hati dan menghubungi pegawai penyiasat C Muhendran menerusi talian 010-4304383 atau IPD Sungai Buloh melalui talian 03-61561222, atau mana-mana balai polis berhampiran, jika mempunyai maklumat mengenai keberadaan banduan itu.